BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Asal-usul Bahasa Melayu

 ASAL-USUL BAHASA MELAYU

Ada beberapa pendapat mengenai asal usul Bahasa Melayu. Salah satunya ialah Bahasa Melayu berasal dari Kepulauan Melayu. Teori ini disokong oleh beberapa ahli sejarah dan bahasa. Berikut merupakan kajian mereka

* 1 J. Crawfurd
* 2 K. Hilmy
* 3 P.W. Schmidt
* 4 Sutan Takdir Alisjahbana
* 5 Gorys Keraf

J. Crawfurd

J. Crawfurd telah membuat kajian perbandingan bahasa yang ada di Sumatera, Jawa, Kalimantan, dan kawasan Polinesia. Beliau berpendapat bahawa asal bahasa yang tersebar di Nusantara ini berasal daripada bahasa di Pulau Jawa (bahasa Jawa) dan bahasa yang berasal dari Pulau Sumatera (bahasa Melayu). Bahasa Jawa dan bahasa Melayulah yang merupakan induk bagi bahasa serumpun yang terdapat di Nusantara ini berdasarkan bukti bangsa Melayu dan bangsa Jawa telah memiliki taraf kebudayaan yang tinggi dalam abad ke 19. Taraf ini hanya dapat dicapai setelah mengalami perkembangan budaya beberapa abad lamanya. Kesimpulan beliau ialah:

* Orang Melayu itu tidak berasal dari mana-mana, tetapi malah merupakan induk yang menyebar ke tempat lain.
* Bahasa Jawa ialah bahasa tertua dan bahasa induk kepada bahasa lain.

K. Hilmy

Berdasarkan perbandingan bunyi dan bentuk kata bahasa Campa dan pelbagai bahasa di Asia Tenggara, bahasa Melayu Polinesia tidaklah serumpun dengan bahasa Campa.

P.W. Schmidt

Berdasarkan struktur ayat dan perbendaharaan kata bahasa Campa dan Mon-Khmer, bahasa Melayu dan Champa bukanlah serumpun. Beliau merumuskan bahawa bahasa Melayu yang terdapat dalam kedua-dua bahasa di atas merupakan bahasa ambilan sahaja.

Sutan Takdir Alisjahbana

Beliau menggelar bangsa yang berkulit perang yang hidup di Asia Tenggara, iaitu Thailand Selatan, Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei, dan Filipina Selatan sebagai bangsa Melayu yang berasal daripada rumpun bangsa yang satu. Mereka bukan sahaja mempunyai persamaan kulit bahkan persamaan bentuk dan anggota badan yang berbeza daripada bangsa Cina di sebelah timur dan bangsa India di sebelah barat.

Gorys Keraf

Beliau mengemukakan teori Leksikostatistik dan teori Migrasi bagi mengkaji asal usul bangsa dan bahasa Melayu. Setelah mengemukakan hujah tentang kelemahan pendapat terdahulu seperti: Reinhold Foster (1776), William Marsden (1843), John Crawfurd (1848), J.R. Logan (1848), A.H. Keane (1880), H.K. Kern (1889), Slametmuljana (1964), dan Dyen (1965) beliau mengambil kesimpulan bahawa "...negeri asal (tanahair, homeland) nenek moyang bangsa Austronesia haruslah daerah Indonesia dan Filipina (termasuk daerah-daerah yang sekarang merupakan laut dan selat), yang dulunya merupakan kesatuan geografis".